Pendahuluan

Sebagai sebuah sekolah yang telah lama ditubuhkan, SMK SERI ALAM 2, JOHOR BAHRU telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Boleh dikatakan hampir keseluruhan golongan penduduk Bandar Seri Alam dan Taman Flora Height menimba pengalaman awal dalam pelajaran di SMK Seri Alam 2. Golongan ini kini bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dan melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan yang sebenarnya amat berguna jika dapat diturunkan kepada generasi yang lebih muda terutamanya para pelajar yang masih menuntut. Bekas pelajar-pelajar ini juga telah melalui berbagai cabaran semasa menempuhi alam pembelajaran yang pastinya dapat membantu para pelajar yang masih bertungkus-lumus menimba ilmu di kelas.

Apa yang menjadi masalah disini ialah ketiadaan medium untuk golongan ini berkongsi pengalaman mereka. Disinilah timbulnya idea untuk menubuhkan satu persatuan yang mampu menjadi medium untuk menyalurkan segala pengalaman dan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar. Persatuan yang paling relevan dengan fungsi tersebut ialah sebuah persatuan yang dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar ini dalam satu organisasi. Idea penubuhan ini sebenarnya telah timbul sejak beberapa tahun lepas. Namun demikian, tiada mana-mana pihak yang bertindak untuk merealisasikan idea penubuhan tersebut. Justeru tindakan segera perlu diambil supaya idea tersebut tidak terkubur begitu sahaja. Semoga Kewujudan kertas kerja ini dapat membuka langkah pertama penubuhan ALUMNI SMK Seri Alam 2.

Relevan Penubuhan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, satu saluran perlu diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kep
akaran bekas pelajar-pelajar dapat digunakan untuk memajukan sekolah. Selain itu, penubuhan alumni juga dapat mengumpulkan semula hampir keseluruhan bekas pelajar yang pernah menuntut ilmu di SMK Seri Alam 2. Dengan ini mereka dapat bertukar-tukar fikiran dan idea untuk digarap bersama sebagai satu idea baru yang akan dapat digunakan sebagai satu langkah untuk membawa kebaikan kepada sekolah khasnya dan kepada penduduk setempat secara amnya.

Jika difikirkan semula, sebuah sekolah yang telah berusia hampir separuh abad sepatutnya mempunyai satu persatuan khas untuk mengumpulkan bekas pelajar-pelajarnya bagi memastikan kewujudan sekolah ini sentiasa memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai di sekitarnya. Jadi penubuhan Alumni ini sangat bersesuaian dengan keadaan semasa di mana orang ramai kini kurang mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di sekolah.

Alumni juga mampu menjadi satu organisasi penting yang membawa pengaruh besar kepada golongan muda Bandar Seri Alam dan Taman Flora Height yang kini sibuk melakukan hal masing-masing sahaja. Golongan muda ini yang juga terdiri daripada bekas pelajar-pelajar SMK Seri Alam 2 perlu ditarik menyertai aktiviti sekolah bagi membawa impak yang lebih besar kepada kemajuan sekolah kerana mereka dapat dilihat sebagai pelapis yang satu hari nanti akan membarisi tampuk kepimpinan PIBG dan sekolah. Apa yang diharapkan agar golongan ini akan dapat meneruskan malah memperkukuhkan perjuangan PIBG yang sedia ada.

Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai matlamat sebagai pusat ilmu di SMK Seri Alam 2. Hanya alumni dapat merealisasikan harapan ini kerana ia tidak terhad kepada lapisan masyarakat tertentu sahaja.

Objektif Penubuhan

Alumni diharap bukan sekadar dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar SMK Seri Alam 2, malah membantu sekolah untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Berikut digariskan beberapa objektif utama penubuhan Alumni :

1. Mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai aspek pelajaran daripada segenap lapisan bekas pelajar sebagai pemangkin kecemerlangan sekolah.
2. Sebagai satu mekanisma sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam memperbaiki sistem pembelajaran di samping memastikan kebajikan para pelajar sentiasa diberi perhatian.
3. Berfungsi untuk memberi bantuan kepada pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
4. Menjadi satu saluran selain PIBG untuk penduduk setempat menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak sekolah. Dengan ini aliran maklumat dapat berlaku dengan lebih lancar dan sistematik.
5. Menjadi kaki dan tangan sekolah dalam menjayakan sesuatu majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekaligus melancarkan perjalanan program tersebut.
6. Sebagai rakan dan juga pendokong misi dan visi SMK Seri Alam 2.
7. Merangka program-program pembangunan akademik dan sahsiah untuk membantu kecemerlangan sekolah dari segi akademik mahupun disiplin pelajar.
8. Berkongsi pengalaman dalam menempuh alam persekolahan sehingga ke alam pekerjaan.

5 May 2012

Majlis Perasmian Alumni SMK Seri Alam 2



Tarikh : 20 Mei 2012 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi – 12 tengah hari.
Tempat : Dewan Tertutup SMK Seri Alam 2.

Pages